Saturday, December 30, 2006

Lelaki + RM: KAD KREDIT - Gaya @ Hutang oleh: Irfan Khairi

Kad kredit- memudahkan atau membebankan? Sering kali kita dengar kad kredit memudahkan kita dalam berbelanja- tidak perlu membawa cash merata-rata. Tak kurang juga rungutan yang kita dengar bahawa kad kredit membawa beban apabila ia memudahkan sangat perbelanjaan, sehingga kita tidak dapat mengawal belian melalui kad kredit... hutang pun bertambah keliling pinggang.

Kad kredit dicipta pada tahun 1950 di mana Frank McNamara telah mencipta sebuah kad "hutang" untuk membayar bill restoran. Kad tersebut dikenali sebagai Diner's Card. Beberapa tahun kemudian, berbagai-bagai kad kredit digunakan di pasaran termasuk American Express, Mastercard dan juga VISA untuk pelbagai kegunaan. Penggunaan kad hutang ini menjadi amat popular dan industri kad kredit berkembang dengan pesatnya.

Tips menggunakan Kad kredit
1: Jangan menganggap kad kredit sama seperti wang tunai. Anggap kad kredit sebagai hutang. Setiap kali anda menggunakan kad kredit, anda menambahkan hutang anda. Hanya gunakan kad kredit apabila anda mempunyai wang tunai simpanan untuk melangsaikan hutang tersebut. Anggap kad kredit sebagai kad hutang yang anda perlu langsaikan dalam masa 30 hari.
Jikalau anda ingin menambah accessory kepada kereta anda, usah gunakan kad kredit jika anda tidak mempunyai simpanan untuk pembayaran balik dalam masa 30 hari. Ianya hanya akan memudaratkan anda oleh kerana interest yang dikenakan adalah tinggi berbanding dengan pinjaman-pinjaman lain seperti pinjaman belian kereta anda sendiri.

2: Pastikan anda sentiasa mengetahui baki kad kredit anda. Walaupun anda ianya menggunakan sedikit di sini, dan sedikit di sana, patah orang tua berbunyi; sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.
Jangan tertawan dengan godaan membeli perkakas untuk bergaya menggunakan kad kredit- baju baru, kasut baru, seluar baru, handphone baru. Apabila membayar menggunakan kad kredit, anda tidak nampak wang tunai yang menjadi pertukaran. Ini akan mengakibat kan kita lupa tentang perbelanjaan kita. Sedar-sedar, hutang bertambah keliling pinggang.Oleh itu, pastikan anda sentiasa mengetahui jumlah penggunaannya pada tiap-tiap belian dan pastikan anda mampu membayar jumlahnya dalam masa 30 hari.

3: Simpan kesemua resit belian kad kredit anda. Di akhir bulan, semakkannya bersama bil bulanan yang anda terima. Pastikan jikalau terdapat apa jua kesilapan, anda menghubungi syarikat kad kredit anda serta merta. Kesilapan caj boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja. Lebih teruk lagi, mungkin terdapat penyelewengan kad kredit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Anda tidak terkecuali dari menjadi mangsa. Oleh itu, pastikan anda menyemak bil bulanan anda.

4: Langsaikan bayaran kad kredit anda secepat mungkin. Lebih lama anda melangsaikan hutang kad kredit anda, lebih banyak interest yang anda perlu bayar untuk menampung hutang tersebut- ini akan menyukarkan pembayaran balik kad kredit anda. Ramai tersalah anggap bahawa jikalau mereka membayar "minimum payment" pada bil bulanan, interest tidak akan di kenakan. Tanggapan ini adalah salah oleh kerana, interest masih akan dikenakan. Cuma, jikalau anda tidak membayar "minimum payment", anda akan dikenakan denda- ini akan menambahkan lagi hutang anda! Langkah yang lebih bijak adalah untuk melangsaikan kesemua hutang kad kredit anda setiap bulan.

5: Pastikan kad kredit anda mempunyai interest rate yang rendah. Terdapat berbagai-bagai institusi menyediakan perkhidmatan kad kredit- cari yang memberi interest yang paling rendah. Jikalau anda sudah mempunyai kad kredit dan mendapati institusi lain memberi interest yang lebih rendah, anda boleh melakukan penukaran perkhidmatan kad kredit tersebut.

Kebiasaan institusi akan mempromosikan interest yang rendah untuk beberapa bulan permulaan untuk menarik pelanggan. Pastikan anda tidak terjerat dengan promosi sebegini oleh kerana anda perlu mempertimbangkan juga interest yang sebenar selepas tamat tempoh permualaan ini.

6: Usah memiliki beberapa kad kredit sekali gus. Ini akan menyebabkan anda lebih giat berbelanja. Hanya satu kad kredit sudah mencukupi. Jikalau anda mempunyai 3 kad kredit dari institusi yang berlainan yang memberi limit pinjaman RM5,000 setiap satu, anda akan menjadi rambang mata oleh kerana anda mempunyai RM15,000 yang boleh di belanjakan!

Jikalau anda mempunyai masalah berbelanja lebih dari apa yang anda mampu melalui kad kredit, teknik berkesan anda boleh lakukan adalah, potong kad kredit anda yang lain dan hanya simpan satu sahaja. Hentikan perkhidmatan dan langsaikan hutang-hutang kad kredit yang lain dan teruskan hidup anda dengan hanya satu kad kredit sahaja.

Kad kredit merupakan suatu kemudahan untuk membuat bayaran, sebagai contoh, gunakan kad kredit sebagai alternatif kepada wang tunai. Ianya lebih selamat untuk anda membawa sekeping kad kredit untuk membeli handphone RM3,000 dari pada membawa wang tunai RM3,000 dalam dompet anda! Ia juga amat berguna seandainya terdapat kecemasan dan anda tidak mempunyai wang tunai. Sering kali kita boleh menganggap kad kredit kita sebagai insurans seandainya terdapat kecemasa. Namun begitu, penggunaan kad kredit yang tidak di jaga akan mengakibatkan pembelian melalui kad kredit sewenang-wenangnya dan cuma bil kad kredit di hujung bulan akan menjadi beban kepada anda.

No comments: